Wednesday

20.05.2009

update on influenza A (H1N1)- i pray that this pandemic will stop soon..

KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA INFLUENZA A(H1N1)
DAN TINDAKAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

19 Mei 2009

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan bahawa sehingga pukul 8.00 pagi, 19 Mei 2009 Bilik CPRC Kebangsaan telah menerima sebanyak 134 kes yang telah dinotifikasi dari seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, kes yang telah disahkan positif influenza A(H1N1) kekal kepada dua (2) orang. 132 kes lagi disahkan bebas dari Influenza A(H1N1) termasuk tiga (3) daripadanya adalah penumpang pesawat MH 091.

Kes pertama yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh berada dalam keadaan stabil, tiada demam dan hanya mengalami sedikit batuk. Manakala kes kedua yang menggunakan pesawat AK5358 dan dimasukkan di Hospital Pulau Pinang tidak lagi demam dan sedang meneruskan rawatan. Ahli keluarga bagi kedua-dua penumpang terbabit berada di rumah untuk “home quarantine” dan dalam keadaan sihat.

Untuk pengesanan kontak penumpang pesawat MH091, kesemua 102 penumpang yang dapat dikesan adalah dalam keadaaan sihat dan telah di “home quarantine”. Tiga (3) orang penumpang lagi juga telah dapat dikesan dan dalam keadaan sihat, di “home quarantine”, dan 14 orang lagi masih belum dapat dikesan. Bagi pengesanan kontak pesawat AK 5358 dari LCCT, seramai 46 orang penumpang dan lima (5) orang krew telah dikesan dan diletakkan di bawah “home quarantine” dan buat masa ini berada dalam keadaan sihat. Sementara itu, 56 penumpang dan seorang anak kapal masih lagi dalam pengesanan.

Sementara itu, Malaysia telah mendapat maklumat daripada IHR Focal Point bahawa terdapat dua (2) penumpang bukan warga negara Malaysia yang telah menaiki pesawat Cathay Pacific CX831 dari Amerika ke Hong Kong. Pihak berkuasa Hong Kong telah mengesahkan terdapat satu pesakit yang disahkan positif Influenza A(H1N1) di dalam pesawat tersebut. Kedua penumpang tersebut telah meneruskan penerbangan ke Kota Kinabalu dengan menaiki Dragon Air KA061 dan tiba pada 17 Mei 2009. Kedua penumpang berkenaan telah dapat dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan kedua-duanya berada dalam keadaan sihat dan akan dikuarantin.

Untuk semalam, sehingga 19 Mei 2009, jam 8 pagi, Bilik CPRC Kementerian telah menerima sebanyak 23 notifikasi kes yang dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Rujukan Influenza A(H1N1) bagi tujuan penyiasatan iaitu 15 kes di Hospital Sungai Buloh, 3 kes di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, 2 kes di Hospital Sultanah Nur- Zahirah, Terengganu dan masing-masing 1 kes di Hospital Queen Elizabeth, Sabah, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang, dan Hospital Melaka. Ujian yang dilakukan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan kesemuanya bebas dari jangkitan influenza A(H1N1).

Sehingga 19 Mei 2009 jam 8.00 pagi Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sebanyak 40 buah negara terjejas dengan influenza A(H1N1) iaitu peningkatan sebanyak 1 buah negara berbanding hari sebelumnya. Negara baru yang terlibat adalah Chile dengan dua (2) kes. Kumulatif kes adalah sebanyak 9,245 kes influenza A(H1N1) disahkan oleh ujian makmal dengan peningkatan sebanyak 510 kes berbanding dengan laporan pada hari sebelumnya. Peningkatan ini dilaporkan di lima (5) buah negara iaitu di Amerika Syarikat (409), Jepun(97), United Kingdom(1), Panama(1) dan Chile(2). Terdapat satu (1) lagi kematian dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat menjadikan keseluruhan kematian kepada 75 orang.

Pada 19 Mei 2009 jam 8.00 pagi, seramai 11,032 individu yang tiba dari negara terbabit telah disaring. Daripada jumlah tersebut, 9,497 (86.1%) orang disaring di pintu masuk udara, 394 (3.6%) di pelabuhan dan 1,141 (10.3%) di pintu masuk darat. Satu (1) kes yang dikesan di KLIA telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi tujuan penyiasatan. Sehingga 19 Mei 2009, kumulatif penumpang yang disaring di semua pintu masuk adalah seramai 121,185 orang dimana 111,246 di pintu masuk udara, 6,262 di pintu masuk darat dan 3,677 di pintu masuk laut. Kumulatif kes yang dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dari pintu masuk adalah 32.
Kementerian Kesihatan akan terus memaklumkan orang ramai mengenai situasi semasa wabak ini di seluruh dunia khususnya di Negara-negara yang dilanda influenza A(H1N1). Maklumat terkini mengenai influenza A(H1N1) ini boleh diperolehi melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan pengumuman KKM melalui media dari masa ke semasa. KKM sekali lagi ingin menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi influenza A(H1N1) di negara ini. KKM dengan kerjasama semua agensi terlibat sentiasa meningkatkan pemantauan dan giat mengambil tindakan proaktif bagi mengawal situasi influenza A(H1N1) dinegara ini.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HAJI MOHD ISMAIL MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 19 Mei 2009

No comments: